Jumaat, 12 Mac 2010

SRAI 19, SHAH ALAM UNGGUL 7 TAHUN BERTURUT-TURUT Print

Image KLANG - Sekolah Rendah Agama Integrasi, Seksyen 19, Shah Alam (SRAI 19) sekali lagi telah dinobatkan sebagai juara buat kali ketujuh berturut-turut sempena Karnival Sukan Sekolah-Sekolah Rendah Agama Integrasi Negeri Selangor yang telah berlangsung mulai 11 hingga 13 April 2008 bertempat di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Kg. Jawa, Klang.

Kejohanan yang telah diadakan sejak tahun 2000 itu adalah karnival sukan tahunan bagi pelajar Sekolah Rendah Agama Integrasi Selangor yang mempertandingkan pelbagai acara iaitu bola sepak, bola jaring, bola tampar lelaki dan perempuan, bola baling lelaki dan perempuan, badminton lelaki dan perempuan, pingpong lelaki dan perempuan serta sepaktakraw.

Karnival ini dilaksanakan selaras dengan matlamat Kementerian Pelajaran dan Jabatan Agama Islam Selangor yang ingin melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani intelek dan sosial.

Kejuaraan ini adalah kali ke-tujuh berturut-turut yang telah dirangkul oleh SRAI 19, sejak karnival ini diperkenalkan pada tahun 2000. SRAI 19, Shah Alam dijulang sekali lagi sebagai juara pada tahun ini setelah menjuarai beberapa acara yang dipertandingkan iaitu bolasepak, bola tampar lelaki, bola baling lelaki dan perempuan, dan juara bersama dalam acara badminton.

Lain-lain keputusan, bola jaring disandang oleh SRAI Sungai Manggis, bola tampar perempuan (SRAI Bandar Baru Bangi), badminton lelaki (juara bersama antara SRAI Bandar Baru Bangi dan SRAI Batu Belah, Klang), pingpong lelaki (SRAI, Sabak Bernam), pingpong perempuan (SRAI Sg. Chinchin, Gombak) dan sepaktakraw dimenangi oleh pasukan "B" Sekolah Rendah Integrasi Sabak Bernan.

Sementara itu, YB Puan Dr. Halimah Bt Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor dalam ucapan perasmian penutup karnival mengharapkan agar silaturrahim dan ukhuwah yang sedia terjalin dapat dieratkan dengan penganjuran karnival. "Saya yakin semua pihak telah mengambil peluang untuk mengakrabkan ukhuwah yang sedia terjalin agar lebih erat sebagai tradisi perhimpunan sukan dan akan terus mengamati dan mengamalkan tradisi ini sebaik mungkin." Beliau juga menambah : "Ini kerana kita sedar bahawa ukhuwah islamiah banyak menyumbang kepada suburnya percambahan minda dalam membantu pembentukan modal insan yang cemerlang."
Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Y.B. Puan Dr. Halimah bt Ali.

Turut hadir SS Dato' Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor, YAD Dato' Setia Haji Abdul Ghani bin Fateh Akhir, Orang Besar daerah Klang, Tuan Haji Ali bin Mohamed, Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor, Tuan Haji Amir bin Danuri, Ketua Penolong Pengarah Pendidikan, Jabatan Agama islam Selangor dan pegawai kanan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Selangor.

Image Image

Image Image

Image Image

Image Image

Image Image

Image Image

SRAI SEKSYEN 19 ANJUR DUA PROGRAM SERENTAK

SHAH ALAM – Sempena kemeriahan Syawal, Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19 menganjurkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2009 di Dataran Perhimpunan bagi mempererat ukhuwah warga sekolah dengan penduduk sekitar sekolah itu baru-baru ini.

Guru Besar, Abdul Basir Mohd Anuar berkata, program berkenaan adalah kali yang kedua diadakan secara besar-besaran. Inisiatif itu tercetus berikutan sebelum ini majlis itu diadakan di dalam kelas masing-masing dan hanya melibatkan guru dan murid-murid sahaja.

Menurutnya, majlis itu perlulah dilakukan lebih meriah dengan menggabungkan semua kelas. Secara tidak langsung, ia dapat melibatkan semua pihak bekerjasama bagi menjayakan majlis itu dengan jayanya.

“Berkonsepkan majlis terbuka, ia dapat mempererat hubungan sekolah dengan masyarakat sekitar, khususnya tetamu yang hadir seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), polis dan bomba.

“Peluang-peluang yang ada ini secara tidak langsung dapat menghapuskan birokrasi menerusi ramah mesra bersama tetamu yang hadir,”katanya.

Pada masa sama turut diadakan Hari Anugerah Kecemerlangan Murid 2008 yang disampaikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohamad Amir Danuri.

Antara anugerah yang diberikan ialah Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Anugerah Tahun Enam, Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).

Abdul Basir berkata, seramai 55 murid berjaya memperoleh 5A pada UPSR 2008 daripada 287 calon yang mendudukinya manakala PSRA pula mencatatkan seramai 69 murid berjaya memperoleh mumtaz.

“Pencapaian itu sangat membanggakan pihak sekolah dan menjadi perangsang kepada sekolah untuk terus mencipta dan melakar kecemerlangan sekolah dalam pelbagai bidang.

“Majlis turut menyampaikan anugerah khas iaitu Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah Sekolah Agama Jais kepada Munirah Yasmin Ahamd Shahrul kerana kecemerlangan akademiknya,” katanya.

Namun lebih manis apabila Munirah Yasmin turut menerima lapan anugerah lain, antaranya seperti Anugerah Terbaik Tahun Enam, Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Bahasa Melayu 2, Tajwid dan Tilawah serta Murid Cemerlang 2008.

Selain itu, pelbagai pendekatan yang dilakukan pihak sekolah bagi mempertingkatkan kecemerlangan sekolah ialah menerusi program Permuafakatan ibu bapa dan guru.

“Dalam majlis ini, ibu bapa dan guru bermuafakat dengan menandatangani (MoU) untuk setuju membuat sejumlah pembayaran bagi menapung kos program-program kecemerlangan murid Tahun Enam setiap tahun.

“Dengan sokongan ibu bapa, pihak sekolah juga turut mengadakan program kecemerlangan lain seperti bengkel teknik menjawab soalan daripada tenaga pengajar luar,” katanya.

Bagaimanapun, Abd Basir berharap penganugerahan itu dapat memberi perangsang kepada murid yang kurang berjaya agar mencontohi kecemerlangan rakan-rakan mereka.

Malahan UPSR 2009 juga bakal memberi kejayaan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya dari segi kuantiti dan kualiti.